Isnin, 12 Mei 2014

ANALISIS KARYA AGUNG

HIKAYAT HANG TUAH

 Analisis Hikayat Hang Tuah 
Hikayat Hang Tuah hidup sebagai sebuah hasil sastera Melayu lama dan mempunyai keindahannya. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil watak Hang Tuah dari manusia sejarah Hang Tuah dan ketika membina watak ini, ia disenyawakan dengan aspirasi dan perasaan, sifat dan keadaan-keadaan dalam masyarakat Melayu zamannya. Hikayat Hang Tuah menggambarkan zamannya dan watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah adalah model-model manusia zamannya.

            Tema kesetiaan, kesanggupan dan kejayaan umat Melayu disenyawakan dengan semesra-mesranya dalam watak Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah adalah sebuah roman sejarah bercorak kebangsaan yang mempunyai seni dalam erti ia menyuarakan perasaan dan kesanggupan bangsa Melayu zamannya. Penyuaraan kesetiaan, kesanggupan dan kedayaan bangsa Melayu adalah dalam bentuk sindiran atau kiasan. Sindiran dan kiasan di sini adalah untuk membaiki, memberi moral dan alasan kepada sesuatu kejadian.

            Hikayat Hang Tuah dikarang berdasarkan watak Hang Tuah yang pernah menjadi hulubalang Melaka. Hal ini adalah untuk membina kembali moral dan menyemaikan semangat ialah dengan menghidupkan seluas-luasnya alam pengembaraan. Kegigihan Hang Tuah merupakan satu seni yang indah. Kejayaan pengarang Hikayat Hang Tuah ialah dalam menggambar Hang Tuah sebagai Adiwira Melayu. Sifat kewiraan ini digunakan pada masa bangsa Melayu lemah moralnya dan bagi memulihkan kembali moral tersebut ialah dengan menanam kepercayaan dan pegangan bahawa pada suatu masa dahulu bangsa Melayu gagah, setia dan punya kesanggupan. Cara ini merupakan satu seni sastera yang dapat kita samakan dengan konsep ‘sastera untuk masyarakat’. Pada satu situasi, kita dapati Hang Tuah dengan sejarah kepahlawanannya, pada situasi yang satu lagi, kita dapati keadaan moral bangsa Melayu lumpuh. Pengarang menggunakan watak Hang Tuah untuk menebus keadaan ini.

            Jika kita menilai Hikayat Hang Tuah dari kaca mata kita sekarang dan menggunakan konsep sekarang untuk perkara yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, kita mungkin berakhir dengan kegagalan. Konsep keadilan, konsep kesetiaan, soal nyata dan khayal berlainan sekali antara dahulu dengan sekarang. Jikalau kita hendak memahami dan menilai Hikayat Hang Tuah dengan sewajarnya, mestilah kita fahami konsep berikut, dengan latar belakang zamannya:

i.                    Konsep kesetiaan dan pandangan rakyat terhadap raja yang memerintah

ii.                  Konsep khayalan yang berasaskan masyarakat zaman Hang Tuah dan bukan konsep khayalan dalam abad dua puluh.

Setiap hikayat lama menggambarkan kebahagiaan untuk heronya pada penghujung cerita. Keistimewaan hikayat Hang Tuah ialah Hang Tuah, Raja Melaka dan Bendahara Paduka Raja dikekalkan dan tidak ditamatkan riwayat mereka. Berbalik kepada gambaran kejayaan dan kesanggupan bangsa Melayu, kita dapati bahawa dalam simbolisnya hero-hero kejayaan zaman Melaka dan kebesaran Melayu ini tidak akan lenyap dari sejarah. Mematikan mereka adalah mematikan sejarah kejayaan dan kegemilangan bangsa Melayu pada suatu masa dahulu. Mereka merupakan lambang perjuangan Melayu dan mungkin manusia sebagai Hang Tuah sudah mati, namun bangsa Melayu yang dilambangkan dalam sifat Hang Tuah akan terus hidup.

Pemikiran Pengarang Hikayat Hang Tuah


Pengarang Hikayat Hang Tuah mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuklah sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama. Watak-watak yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah seperti watak Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja menunjukkan keasliaannya dan menggambarkan watak-watak bangsa Melayu yang mewakili zamannya. Dalam teks ini, watak Hang Tuah membawa lambang kesempurnaan bangsa Melayu yang dapat dijadikan sebagai contoh oleh generasi yang terkemudian. Hal ini demikian kerana, setiap perlakuan serta perbuatan Hang Tuah melambangkan keperibadian bangsa Melayu itu sendiri.

            Menurut Hasan Ahmad (1997), penonjolan jati diri Melayu menerusi watak Hang Tuah bersesuaian dengan kehendak atau ciri-ciri karya tersebut yang dianggap oleh kebanyakan sarjana sebagai salah sebuah karya agung bagi bangsa Melayu. Hal ini ternyata sekali jika kita merujuk mengenai persoalan pengorbanan untuk raja, agama serta bangsa seperti yang telah ditunjukkan melalui watak Hang Tuah dalam hikayat ini. Dalam hikayat ini dipaparkan bagaimana Melaka dan Majapahit yang merupakan dua bangsa yang mewakili bangsa Melayu dan Jawa bersaing sesama sendiri demi mempamerkan kejaguhan dan keagungan bangsa masing-masing. Dalam Hikayat Hang Tuah juga turut digambarkan bahawa masyarakat Melayu yang diwakili Hang Tuah sering disaingi serta diancam dengan penampilan watak negatif Jawa. Pahlawan-pahlawan Jawa sering mencuba untuk menggugat kedudukan kerajaan Melayu Melaka dan mencabar kepahlawan Hang Tuah. Ketika Hang Tuah berada di Majapahit, dapat dikesan penegasan dan penonjolan istilah Melayu atau bangsa Melayu, misalnya:

“ Maka kata Patih Gajah Mada, bukan engkau sekalian aku hendak menyuruh mengalahkan negeri. Engkau hendak kusuruhkan mencuba hulubalang Melayu yang datang itu…”

( Hikayat Hang Tuah, hlm. 115 )

Sehubungan itu, penampilan Hang Tuah bukan sekadar untuk menyedapkan penceritaan tetapi pengarang berhasrat untuk menjadikan watak tersebut sebagai lambang keagungan bangsa Melayu. Hal ini dapat dilihat pengulangan istilah Melayu dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut:
“Maka Tun Tuah melompat menyalahkan tikam penjurit itu, seraya katanya, ‘Akulah hulubalang Raja Melaka, syahdan akulah yang bernama Laksamana, hulubalang pada Tanah Melayu;…”
( Hikayat Hang Tuah, hlm. 155 )

Dalam hal ini, jelas watak Hang Tuah mewakili bangsa serta negara atau kerajaannya, iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu.


SULALATUS SALATIN

Analisis Sulalatus Salatin

Aspek budaya, perpaduan dan mobiliti jelas dapat dilihat dalam karya agung Sulalatus Salatin ini. Dalam karya ini, banyak aspek kebudayaan dapat dilihat, iaitu budaya dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerabat diraja.  Seperti yang kita sedia maklum, karya ini sarat dengan kisah pembesar yang berkuasa dan telah menetapkan pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat jelata. Sebagai contoh, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, raja telah menyediakan peraturan, iaitu larangan untuk mengamalkan gaya hidup masyarakat pembesar dalam kalangan rakyat. Pada suatu ketika dahulu, warna kuning merupakan warna diraja daripada aspek pakaian, peralatan dan perhiasan.  Oleh hal yang demikian, rakyat biasa tidak dibenarkan untuk menggunakan warna kuning dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, rakyat juga tidak dibenarkan memiliki keris sebagai senjata. Dengan berkuatkuasanya undang-undang ini, maka ia diaplikasikan dalam kehidupan seharian bagi menghormati taraf raja sebagai pembesar dan pemimpin.

            Selain itu, aspek perpaduan juga adalah satu elemen penting dalam penulisan karya Sulalatus Salatin ini. Hal ini demikian kerana, masyarakat terdahulu sangat mementingkan perpaduan dalam kalangan mereka. Mereka percaya bahawa dengan wujudnya perpaduan, mereka akan hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni.  Karya ini banyak menceritakan perpaduan antara penduduk tempatan dan penduduk luar sebagai contoh hubungan antara negeri Melaka dengan Sulawesi yang terjalin akibat daripada hubungan diplomatik.  Selain daripada itu, dapat dilihat juga berlakunya hubungan antara Melaka dengan Siam dan kedua-dua hubungan diplomatik ini berupaya menaikkan imej kerajaan Melayu Melaka. Secara tidak langsung, dengan wujudnya hubungan dan perpaduan Melaka dengan kedua-dua negeri tersebut, empayar Melaka dapat diluaskan lagi.

            Berdasarkan karya ini juga, kita dapat melihat bahawa terdapatnya aspek mobiliti yang berlaku melalui perkahwinan.  Sebagai contoh, puteri Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir iaitu Tun Fatimah yang telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah dan seterusnya diangkat menjadi Raja Perempuan Besar Melaka. Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa dengan adanya perkahwinan sebegini, taraf atau kedudukan seseorang telah diangkat kepada keududukan yang lebih tinggi.  Selain itu, mobiliti ini juga dapat dilihat melalui pembukaan negeri yang telah memberikan perubahan yang sangat mendadak.  Sebagai contoh, Raja Iskandar Syah yang telah membuka Melaka berdasarkan peristiwa pelanduk putih telah mendapatkan kerjasama daripada semua rakyat jelata untuk membuka negeri di tempat tersebut. Melalui kerjasama yang dapat dilihat dalam kalangan rakyat ketika itu, dapat dibuktikan bahawa telah terbinanya pembangunan modal insan kesan daripada mobiliti tersebut.



Kekuatan Pengarangan dalam Sulalatus Salatin

Terdapat beberapa kekuatan pengarangan yang dapat dilihat sewaktu mengkaji Hikayat Sejarah Melayu ini. Antaranya ialah seperti berikut:

i)Penggunaan banyak Perbandingan Melampau (Hiperbola)

Berdasarkan Hikayat Sejarah Melayu, pengarang menggunakan unsur hiperbola yang dilihat begitu menarik perhatian pembaca. Unsur ini adakalanya dilihat sebagai sesuatu yang tidak logik tetapi unsur yang menarik itu dapat melihat bagaimana pengarang berjaya mengaplikasikan unsur-unsur persekitaran dalam karya penulisan mereka. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang berikut:
“Daripada kebanyakan ra’yat berjalan itu segala hutan belantara pun habis menjadi padang, bumi pun bergetar seperti gempa, gunung-gunung pun bergerak, runtuh kemuncaknya. Maka, segala bukit yang tinggi-tinggi itu pun habis menjadi rata, segala sungai yang besar-besar pun menjadi kering, jadi darat.”
                            (Sulalatus Salatin, 1997: 15)

ii)Pengulasan yang Mendalam tentang sesuatu Perkara

Sesuatu yang jarang dapat dilihat pada penulis zaman sekarang ialah dapat mengupas sesuatu perkara secara mendalam terutama sekali mengenai salasilah keturunan sesebuah keluarga tersebut. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh yang berikut:
....umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun lamanya Raja Iskandar. Maka Raja Arasythun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa. Maka, anakanda Raja Afdhuslah naik raja dalam negeri Hindi. ‘Umur baginda atas kerajaan seratus dua puluh tahun. Setelah sudah baginda hilang maka Raja Askainat namaya naik raja; umur baginda di atas kerajaan tiga tahun. Setelah itu baginda..........”
                                              (Sulalatus Salatin, 1997 :8)

iii)Mempamerkan Unsur Moral kepada Pembaca

Melalui Hikayat Sejarah Melayu ini, terdapat pelbagai unsur nilai dan pengajaran yang dapat diperoleh. Nilai-nilai murni secara tidak langsung akan dapat memberi kesan kepada pembaca. Mana tidaknya, pembaca yang mengkaji dan menghayati hikayat ini secara tidak langsung akan membandingkan watak-watak yang digarap pengarang dengan diri mereka sendiri. Secara tidak langsung, sedikit sebanyak nilai-nilai positif dan pengajaran dapat diserap ke dalam diri pembaca. Keadaan ini dapat dilihat seperti dalam contoh di bawah:
Hai anakku, jangan berbanyak tama’ kamu akan segala arta orang, dan jangan kamu ingin akan isteri anak hamba kamu-kamu kedua ini, muafakat dua bersaudara dan jangan kamu bersalahan dua bersaudara.”
                                            (Sulalatus Salatin, 1997: 48)

iv)Menekankan Aspek Agama

Dalam aspek agama pula, kita dapat melihat bagaimana pengarang cuba menerapkan aspek agama ke dalam diri pembaca. Keadaan ini dapat dilihat dalam watak seorang fakir yang cuba menjejak seseorang yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw dalam mimpinya. Fakir ini cuba mengikut petunjuk yang disampaikan dalam mimpinya untuk mengislamkan pemimpin dan penduduk berdasarkan mimpinya tersebut. Keadaan ini dapat dilihat seperti pada situasi berikut:
“Setelah esok hari maka fakir itu pun naiklah ke darat membawa Qur’an. Maka disuruhnya baca pada orang isi negeri Fansuri, seorang pun tiada dapat membaca dia. Maka kata fakir itu dalam hatinya, “Bukan negeri ini yang seperti sabda nabi kita, Muhammad Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.”
                                           (Sulalatus Salatin, 1997:5)



SUMBER:

Bendahara Paduka Raja dan Uleebalang Tun Seri Lanang Kesultanan Johor Lama dan Samalang (2012). Diperoleh pada April 20, 2013 daripada http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/tun-seri-lanang.html

Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang teks dan khalayak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tun Seri Lanang (1997). Sulalatus Salatin ya’ni perteturun segala raja-raja (sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

http://karyaagungbms.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html


1 ulasan:

  1. Hard Rock Hotel & Casino & Racetrack - DRMCD
    Hard Rock Hotel & Casino & Racetrack 계룡 출장마사지 · Slots · Table Games 목포 출장샵 · 안산 출장샵 Events · Poker 동해 출장샵 and Sportsbook · Nightclubs · 부천 출장마사지 Events.

    BalasPadam