Istilah sintaksis berasal dari perkataan Yunani,
iaitu ‘Sun’ dan ‘Tattein’ yang bermaksud ‘dengan’ dan ‘menempatkan bersama-sama’ (Ahmad Khair Mohd. Nor, 2009:1). Kata ‘Sun Tattein’ itu kemudian diterjemah kepada
‘syntax’ dalam bahasa Inggeris. Bidang
sintaksis merupakan bidang kajian ilmu bahasa.
Menurut Nik Safiah Karim et al.,
(2008:599) menyatakan bahawa sintaksis ialah bidang linguistik yang mengkaji
proses pembinaan ayat. Unsur bahasa yang dikaji dalam sintaksis ialah bentuk,
struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Dalam hierarki tatabahasa, sintaksis
merupakan bidang kajian yang meneliti struktur, bentuk dan binaan ayat.
Sintaksis juga mengkaji hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun
dalam ayat. Unsur-unsur yang dikaji dalam sintaksis adalah ayat, klausa dan
frasa.
Dalam
analisis sintaksis, pengkajian jenis ayat boleh dirangkumkan kepada beberapa
bahagian, iaitu golongan ayat, jumlah klausa, jenis ayat, susunan ayat dan
ragam ayat. Golongan ayat terdiri daripada ayat dasar dan ayat terbitan,
manakala jumlah klausa ayat terbahagi kepada dua, iaitu ayat tunggal dan ayat
majmuk. Jenis ayat pula terdiri daripada ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan
ayat perintah, manakala susunan ayat terbahagi kepada dua, iaitu susunan
songsang dan susunan biasa. Ragam ayat terbahagi kepada dua, iaitu aktif dan pasif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan