Rabu, 26 Mac 2014

HIKAYAT SERI KELANTAN

PENGENALAN

Naskah asal bagi “Hikayat Seri kelantan” disimpan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, di Kuala Lumpur. Naskah ini diwarisi beliau daripada ayahandanya, Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Naskah “Hikayat Seri Kelantan” merupakan naskah yang ditulis tangan dengan huruf jawi. Naskah asal ini merupakan sebuah buku tulis, berukuran 8.5” x 6.9” dan mengandungi 111 halaman. Halaman yang pertama merupakan suatu catatan yang tidak ada kaitannya denga isi kandungan naskah ini, kecuali pada halaman sebelah atasnya tertulis : Inilah dinamakan dia “Hikayat Seri Kelantan”. Muka yang terakhir juga merupakan catatan, tetapi telah dihapuskan dengan dakwat. Pada kedua-dua halaman pertama dan terakhir itu ada tertera tandatangan yang dikenali sebagai tandatangan Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail.
             Naskah asal ini tertulis dengan dakwat hitam, tetapi pada tempat-tempat seperti permulaan satu-satu cerita atau gelaran-gelaran Siam, dakwat merah juga digunakan. Nombor halaman pada naskhah hanya bermula pada halaman yang keenam. Pada halaman yang pertama hingga kelima tidak dicatatkan nombor. Naskhah asal ini masih baik keadaannya, walaupun kertasnya sudah kekuningan sedikit. Tulisannya pada keseluruhannya jelas dan terang. Pada penghujung naskhah ini dicatatkan bahawa hikayat ini telah selesai ditulis pada malam Raba’a 9 hari bulan Rabiulawal tahun (Hijrah) 1332..., dihadapan Wan Ali bin Wan Yusof. Tarikh ini bersamaan dengan 5 Februari 1914 Masihi. Terdapat juga catatan berikut “ Dan ini cetera dan, saya buat satu, iaitu saya ambil daripada cetera Raja Muda satu, yang membawa kepada sayanya Tuan Guru Haji Awan Kenali, dan yang akhir ini saya dapat daripada Wan Ali Pekan, iaitu ia dapat daripada Nik Seri Paduka, sangat-sangat betul”.

             Dengan ini dapat kita tafsirkan bahawa “Hikayat Seri Kelantan” ini telah dihasilkan daripada dua buah naskhah iaitu naskhah Raja Muda dan naskhah daripada Nik Seri Paduka. Tarikh penulisan “Hikayat Seri Kelantan” adalah seperti yang tercatat pada penghujung naskhah ini, tetapi nama penulisnya tidak dapat pula dikatakan sebagai Wan Ali bin Wan Yusof kerana perkataan di hadapan sebelum nama Wan Ali itu menunjukkan kerja-kerja penulisan ini dilakukan atas perintah beliau.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan