Sabtu, 29 Mac 2014

PEMBANGUNAN MODAL INSAN


“Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian,bukan lagi satu kemewahan....Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal releven dengan kehendak industri dan pasaran serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.”

                                                                          (YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,2006)

Berdasarkan petikan diatas jelaslah yang modal insan adalah sesuatu yang sangat penting. Pembentukan modal insan ini harus bermula dari kecil lagi dan diteruskan dalam pendidikan di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi ke Empat, ‘modal’ bermaksud sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu yang lain. Selain itu, ‘modal’ juga bermaksud kelebihan yang lain. ‘Modal’ juga bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk mengembangkan harta. Seterusnya, ‘insan’ pula bermaksud makhluk yang dicipta oleh Tuhan. Pembinaan insan yang tepat dan betul akan membantu sesebuah negara melahirkan masyarakat yang dapat memastikan kejayaan negara pada masa akan datang.
Menurut definisi barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam perkara yang lain. Menurut perspektif barat, mereka memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Istilah modal insan telah dicetuskan oleh Schultz (1961), yang merupakan seorang ahli ekonomi. Beliau telah membuktikan bahawa hasil pelaburan modal insan melalui pendidikan dan latihan di Amerika Syarikat lebih tinggi daripada yang berasaskan pelaburan modal fizikal.
Pembangunan modal insan adalah suatu kepentingan dan menjadi agenda utama negara masa kini ke arah melahirkan insan yang beretika, berilmu dan berketerampilan. Proses pembangunan insan adalah suatu aspek yang paling sukar sekiranya dibandingkan dengan pembangunan fizikal atau pembangunan material. Kesukaran itu disebabkan oleh pembangunan insan melibatkan faktor kemanusiaan yang rumit sifatnya. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, professional, kelebihan maklumat dan sebagainya. Modal insan harus mempunyai ciri-ciri seperti bersifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.
Terdapat lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu melaksanakan penambahbaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan. Seterusnya, mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari, menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan  latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat dan  melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar temasuklah menggantikan semua sekolah daif dan uzur bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar. Akhir sekali, memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan.
Usaha untuk membangunkan modal insan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa untuk menjamin kemajuan negara. Hal ini demikian kerana modal insan merupakan tunjang utama sesebuah negara. Seterusnya, modal insan yang berkualiti pula dapat memakmurkan, memajukan dan memartabatkan negara sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Modal insan yang berkualiti merupakan cerminan pada sesebuah tampuk pemerintahan. Penerapan nilai-nilai murni dan nilai tambah perlu dipupuk sepanjang masa dalam usaha membangunkan modal insan.         


Tiada ulasan:

Catat Ulasan