Jumaat, 18 April 2014

DIKIR BARAT

Pengenalan Dikir Barat



Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud dikalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar.Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.Dikir Barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun dipertandingankan.

Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat semasa musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalu diadakan oleh Persatuan-Persatuan Belia tempatan, badan-badan Kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dalam persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari 2 kombinasi seni iaitu, "Dikir" dan "Pantun" atau "Dikir" dan "Karut". Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi "Dikir Barat", "Dikir Karut", "Dikir Pantun" dan "Dikir Syair" adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Siam dengan Dikir Karut.

Asal usul dikir barat

Dikir barat berasal dari ciptaan Pak Leh Tapang
Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupai. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari kampung Tapang. Beliau telah mengakui sendiri yang dikir barat ini sebenarnya berasalnya dari Selatan Siam. Beliau telah mengubah permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya.
Jadi sebelum itu, ketika dikir barat dibawa ke Kelantan ianya adalah di dalam bentuk dikir tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaafar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan dikir barat dikampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang menggubah dan menambahkannya dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.



Dikir Barat Berasal Dari dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa dikr barat dini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan dikir barat, orang-orang menganggap dikir barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti rebana besar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan