Isnin, 12 Mei 2014

TEROMBA


Teromba adalah susunan kata-kata adat . Ianya adalah puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris , bait , rima , atau jumlah perkataan dalam baris . Terdapat sisipan pelbagai puisi yang lain , misalnya pantun , gurindam , peribahasa dalam seuntai teromba . Isinya memuatkan hal-hal yang berhunungan dengan undang-undang , adat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat . Contoh :

Adat dan Hukum Syarak

Adat dipakai syarat diturut
Syarat mengata, adat memakai
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi kitabullah
Kuat adat tak gaduh hukum
Kuat hukum tak gaduh adat
Ibu hukum muafakat
Ibu adat muafakat

Ciri-ciri 

Dari aspek bentuk :

1.       Sejenis puisi berbentuk bebas atau puisi yang tidak terikat.
2.       Rima akhir teromba adalah tidak tetap 
3.       Terdapat penggunaan jenis puisi Melayu tradisional yang lain seperti penggunaan peribahasa 


Fungsi 

1.       Memberi panduan dan pendidiakn tentang cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui , peraturan , dan undang-undang yang dibentuk 
2.       Menjelaskan keutamaan adat dan masyarakat mesti mengikut kebiasaan yang telah dijadikan peraturan setempat . Penghulu , ulama masing-masing dengan tugas mereka. Begitu juga dengan pahlawan , juara , saudagar ,dan kaum wanita .

Teromba Adat

Hidup dikandung adat ,
Mati dikandung tanah .

Adat dipakai baru ,
Kain dipakai using .

Yang elok dipakai ,
Yang buruk dibuang .

Lembaga berlikungan ,
Undang kelintasan .

Duduk meraut ranjau ,
Tegak meninjau jarah .

Ke darat Adat Pepatah ,
Ke laut Adat Temenggung .

 Adat bersendi hukum ,
Hukum bersendi Kitab Allah .


Maksud

Rangkap pertama – Hidup seseorang sentiasa di penuhi dengan adat bila mati akan kembali ke tanah
Rangkap kedua – Adat tidak akan luput tidak seperti kain yang senang ditukar-tukar .
Rangkap bertiga – Yang baik diamalkan yang buruk di jauhkan .
Rangkap keempat – Hidup dalam lingkungan adat
Rangkap kelima – Duduk sentiasa membuat senjata serta selalu berwaspada dan bersedia .
Rangkap keenam – Perbezaan adat Pepatih dengan adat Temenggung yang menentukan .
Rangkap ketujuh -  Pergi kelaut secara beradat pergi ke darat secara sopan .
Rangkap ke lapan – Adat mestilah berdasarkan hukum , dan hukum pula mestilah berdasarkan Kitab Allah .

Ciri-ciri

1. 2 baris 1 rangkap
2. 2 hingga 4 patah perkataan
3. 6 hingga 9 suku kata ( rangkap 3 baris 1 , rangkap 8 baris 2 )
4. Teromba tersebut berbentuk terikat
5. Rima akhir a,a dan a,b


Tema

Adat masyarakat yang mengamalkan adat Pepatih .

Persoalan

1. Persoalan kepentingan adat berpandukan masyarakat dahulu .
2. Persoalan kebaikan adat Pepatih .
3. Persoalan yang mengamalkan adat Rukun Islam.

Nilai Masyarakat

1. Masyarakat yang mengamalkan adat dalam kehidupan mereka .
2. Masyarakat yang menghormati dan mengamalkan hukum-hukum keagamaan berdasarkan kitab .
3. Masyarakat perlulah mengutamakan kebaikan dan menjauhi keburukan dalam kehidupan seharian serta selalu berfikiran positif .

Pengajaran

1. Kita hendaklah mengamalkan adat dalam kehidupan supaya adat tidak dilupakan begitu saja .
2. Kita haruslah menerapkan pemikiran yang positif supaya setiap pekerjaan dapat disempurnakan dengan baik .

Nilai Estetika

1. Responsi iaitu “hidup dikandung tanah” , “adat dipakai baru” , “kedarat Adat Pepatih” , “kelaut berteromba”.2. Anafora iaitu “yang elok dipakai”3. Penggunaan bahsa arab iaitu “kitab Allah”.


TEORI LINGUISTIK

Pendahuluan.

Istilah ‘semantik’ berasal dari perkataan Yunani ‘semantickos’ yang bermaksud ‘penting’ atau ‘bererti’ .Semantik ialah cabang linguistik yang akan membahaskan erti atau makna (J.W.M. Verhar, 1996). Semantik merupakan bidang studi linguistik yang objek penelitiannya merupakan makna bahasa (Abdul Chaer,1994). Kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata. (Kamus Dewan, 1997: 1228). Bidang yang mengkaji dan menganalisis makna kata dan ayat. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2010: 1659), teori ialah pendapat (bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya) yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara dan lain-lain.
Lakuan pertuturan merupakan unit asas komunikasi. Hal ini kerana struktur linguistik melibatkan lakuan pertuturan. Unit komunikasi linguistik merupakan lakuan pertuturan yang difahami secara umum sebagai lambang, kata atau ayat, kata ayat atau persembahan pertuturan. Malahan teori bahasa adalah sebahagian daripada teori lakuan yang merupakan satu bentuk lakuan yang terikat dengan pertuturan. Bentuk lakuan merupakan bentuk bahasa yang digunakan untuk bercakap. Sewaktu bercakap, seseorang melakukan satu lakuan pertuturan seperti membuat penyataan, menanyakan soalan, membuat janji dan sebagainya.
            Sebelum kita membicarakan semantik pelakuan pertuturan ini dengan lebih terperinci, penting dijelaskan disini pendirian teoretis ekoran daripada teori semantik sedemikian jika teori ini dijadikan asas mencirikan makna ayat. Makna ayat dan makna perkataan akan dihitung berdasarkan syarat penggunaan yang sesuai, maka apa jua yang tersirat dalam ayat akan dicirikan bukan sebagai sifat ayat tersebut tetapis ebagai perandaian pada pihak penutur yang menggunakan ayat tersebut iaitu satu perangkat kepercayaan yang perlu jika penutur itu mahu menggunakan ayat itu dengan sesuai.


Semantik pelakuan pertuturan.

            Teori lakuan pertuturan adalah sama dengan semantik lakuan pertuturan. Tidak semua teori semantik yang berdasarkan proses perhubungan dikenakan kritikan sedemikian. Khususnya, semantik pelakuan pertuturan tidak pula terdedah kepada kecaman seperti penyempitan makna (reduksionisme) kerana teori ini berusaha mencirikan sifat bahasa bukan berdasarkan unsur-unsur suasana yang dapat diperhatikan tapi berdasarkan konsep pertuturan yang mujarad atau abstak. Wawasan utama dalam semantik pelakuan pertuturan ialah menggunakan bahasa untuk tujuan yang tertentu dan menghuraikan sesuatu hanyalah salah satu penggunaan bahasa. Selain itu, kita juga menggunakan bahasa untuk benjanji, untuk menempelak, untuk bersetuju, untuk mengkritik dan sebagainya.
            Menurut Austin, beliau menyatakan bahawa sewaktu pengucapan sesuatu ayat, penutur kebiasaannya terlibat dalam tiga gerak laku yang berlainan:

1.      Pelakuan pengucapan – gerak laku yang menuturkan sesuatu ayat dengan makna yang tertentu.
2.      Pelakuan niat pengucapan – penutur mungkin berniat ujarannya itu sebagai sesuatu gerak laku yang memuji, mengkritik, menyetujui dan sebagainya.
3.      Pelakuan tindak balas pengucapan – penutur mungkin telah menuturkan ayat yang telah diujarkan untuk mendapatkan satu tindak balas tertentu yang langsung daripada pendengar. Sebagai contoh, untuk menakutkan pendengar, menyukarkan hatinya, menyuruhnya melakukan sesuatu dan sebagainya.

Menurut Kempson ( 1991:62-63 ), dengan memberikan contoh, seorang anak enggan berbaring di atas katil untuk tidur, lalu ayahnya berkata, “ saya akan padamkan lampu”. Lakuan pengucapan dalam ujaran ini ialah pengujaran ayat saya akan padamkan lampu. Di samping itu, lakuan niat pengucapan ialah ayah anak tersebut mungkin bermaksud supaya ujaran tersebut ditafsirkan sebagai satu ancaman. Manakala lakuan tindak balas pengucapan pula ialah anak tersebut menjadi takut dan terdiam lalu tidur.
Dalam komunikasi, bahasa digunakan untuk tujuan yang tertentu dalam sesuatu situasi yang digunakan oleh penutur untuk menyatakan atau menghuraikan situasi tersebut. Di samping itu, bahasa juga digunakan untuk berjanji, menempelak, persetujuan, mengkritik dan sebagainya. Selain itu, terdapat sebilangan ujaran yang mengandungi sesuatu atau tidak mengandungi sebarang maklumat yang bermakna. Oleh itu, ayat tidak boleh dianggap sebagai benar ataupun palsu tetapi pertuturan ayat tersebut merupakan sebahagian daripada lakuan.
Austin menyarankan ujaran performatif tidak dinilai benar atau palsu tetapi hanya dapat dinilai sesuai atau tidak dan ujaran itu dapat dicirikan selayaknya berdasarkan perangkat syarat yang berbeza-beza yang perlu bagi kegunaannya yang sesuai. Misalnya, antara syarat kesesuaian utama satu-satu ujaran seperti ‘saya berjanji saya akan berada di stesen’ ialah penutur berhasrat ujarannya itu akan menjadikan dia bertanggungjawab hadir di stesen, bahawa pendengar itu lebih suka jika dia hadir di stesen dan ternyata dia tidak akan hadir di stesen dalam keadaan yang biasa.
Selain itu, terdapat syarat-syarat umum bagi kejayaan perhubungan seperti kedua-dua penutur dan pendengar menggunakan bahasa yang sama, jika mereka dalam suasana pertuturan yang si pendengar tidak pekak dan sebagainya. Kesemua syarat ini mesti dipenuhi jika ujaran tadi hendak dikira sebagai satu janji yang sesuai dan berjaya.
Analisis pelakuan pertuturan yang dikemukakan oleh Austin dan dikembangkan oleh ahli falsafah lain selepas beliau merupakan huraian tentang pelakuan pertuturan, tentang ujaran ia tidak dimaksudkan sebagai satu huraian tentang ayat. Namun, ahli bahasa telah menggunakan huraian pelakuan pertuturan ini sebagai penyelesaian masalah makna. Malah, pernah disarankan bahawa daripada berbicara tentang makna perkataan atau makna ayat tersendiri-sendiri, lebih berfaedah jika seseorang itu berbicara tentang syarat penggunaan yang sesuai bagi kedua-dua ayat dan perkataan.
Ayat perfomatif berbeza dengan ayat konstatif. Menurut Schiffrin, ayat konstatif adalah penyataan yang digambarkan oleh ayat penyata yang dapat ditentukan benar atau palsu manakala ayat perfomatif adalah ayat penyata yang mempersembahkan sesuatu lakuan. Ayat perfomatif mestilah mempunyai syarat-syarat yang tertentu :

1.      Subjeknya mestilah kata ganti nama diri pertama.
2.      Biasanya mempunyai objek langsung atau objek tidak langsung yang merupakan kata ganti nama diri kedua dalam stukturnya.
3.      Berbentuk pengesahan dan tidak berbentuk negatif.
4.      Kata kerjanya mestilah satu daripada kata kerja yang utama yang mempunyai makna leksikal. Sebagai contoh, dalam bahasa Inggeris, menurut Ross, kata kerja utama yang mempunyai makna leksikal ialah seperti berikut :
     Advise ,answer, ask,  command,  comdemn, declare, demand, offer, request, propose, say, vow, warn, write.
Dalam beberapa hal daya niat pengucapan jelas dinyatakan dan inilah yang disebut sebagai ujaran perfomatif yang nyata. Sebagai contoh :

1.      Saya berjanji dengan awak saya akan kesana.
2.      Saya yakin dia akan jatuh.
3.      Saya bersetuju bahawa saya silap.

Dalam jenis ujaran seperti inilah yang dikatakan oleh Austin bahawa tidak munasabah jika dibicarakan sebagai bersifat benar atau palsu kerana ujaran tersebut bukan merupakan cerita tetapi merupakan gerak laku.
Contoh ayat ujaran perfomatif tidak nyata ialah ;
1.      Ayah akan padamkan lampu
2.      Panjatlah lagi pokok tu
3.      Tak singgah?
4.       
Selain itu, dalam teori lakuan pertuturan terdapat empat syarat yang perlu di ambil kira semasa persembahan lakuan pertuturan iaitu :
1.      Syarat kandungan proposisi.
2.      Syarat persediaan.
3.      Syarat keikhlasan.
4.      Syarat tujuan.


Penutup

            Kesimpulannya ialah semantik dikatakan sebahagian daripada linguistik yang mengkaji bahasa secara teliti. Semantik dapat dijelaskan sebagai sesuatu bidang yang mengkaji makna perkataan dan ayat dalam bahasa secara ringkasnya. Kajian mengenai makna kata boleh dilihat dalam aspek makna denotasi dan konotasi, makna dalam konteks, hubungan makna dengan kebudayaan, perubahan makna dan bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik.
            Satu teori yang mencirikan kenalaran bahasa termasuk dalam teori kecekapan berbahasa manakala teori yang memberikan interaksi antara perincian bahasa itu dengan faktor lain yang menentukan keseluruhan ehwal kenalaran perhubungan itu pula termasuk dalam teori pelakuan bahasa. Kita menjelaskan pelakuan berbahasa dari segi tatabahasa kecekapan berbahasa yang menjanakan ayat dan maknanya tetapi kita juga menjelaskan makna tersebut dari segi syarat kegunaannya iaitu pelakuan berbahasanya. Sekiranya kita mengekalkan pendekatan pelakuan pertuturan dalam semantik maka kita mestilah sekurang-kurangnya menilai kembali andaian-andaian yang mendasari perbezaan kecekapan berbahasa.
Selari dengan itu, dalam komunikasi bahasa digunakan oleh penutur atau pendengar untuk menyatakan atau menghuraikan sesuatu perkara. Di samping itu, bahasa juga merupakn cara kita untuk mempersembahkan lakuan pertuturan yang terdiri daripada lakuan pengucapan, lakuan niat pengucapan dan juga lakuan tindak balas pengucapan.
            Selain itu, teori lakuan pertuturan mempunyai empat syarat iaitu syarat kandungan proposisi, syarat persediaan, syarat keikhlasan dan syarat tujuan.
       


Bibliografi.

Ahmad Mahmood Musanif (2001). Monograf Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu. Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Bilangan 6. Oktober
Ruth M.Kempson ( 1991 ). Penterjemahan: Zaiton Ab.Rahman.Teori Semantik. Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.


DIKIR BARAT

TAJUK DIKIR : CUBALAH TANYA OLEH MEGAT NORDIN

Cubalah tanya pada diri sendiri
Mengapa suka keji-mengeji
Maruah bangsa tak siapa peduli
Apakah cara kita nak mengatasi

Sebelum merdeka hidup tertekan
Semua bangsa memilih cara
Tiada batas tiada peraturan
Bumi dijajah hidup terhalang

Setelah bebas hidup merdeka
Pemimpin bestari terajui negara
Menyeru rakyat semua bangsa
Agar hidup bersatu semua

Suara sumbang masih berbunyi
Hidup diancam bangsa sendiri
Bermacam-macam jenayah keji
Pihak atasan puas mengkaji

Sebagai rakyat warga berjasa
Tinggi dan baik untuk semua
Itulah hasrat sebagai pelita
Muga bersinar selama-lama

Masa yang lalu jangan dikenang
Jadikan ikut sebagai sempadan
Langkah yang baru menyusuri jalan
Onak berliku jangan hiraukan.


Tema
Tema bagi pantun dikir cubalah tanya ialah menyeru supaya semua rakyat hidup bersatu padu. Hal ini dapat dilihat pada rangkap ketiga baris keempat.

Persoalan
Antara persoalan yang terdapat dalam pantun dikir cubalah tanya ini ialah :
1.      Kita sepatutnya bersama-sama menjaga maruah diri dan bangsa kita.
2.      Kita perlu menjauhi sikap mementingkan diri sendiri.
3.      Kita perlu bersatu padu supaya tidak dijajah lagi.
4.      Kita perlu menjadi rakyat yang berilmu dan berjasa kepada negara.
5.      Kita perlu jadikan kenangan lalu sebagai sempadan kehidupan.

Gaya Bahasa 
Umumnya, dalam satu-satu penulisan pantun mesti diselitkan gaya bahasa tertentu. Gaya bahasa ini diselitkan untuk memperindah lagi penulisan pantun tersebut. Di dalam pantun dikir juga terdapat beberapa jenis gaya bahasa diselitkan, antaranya ialah singkof, aliterasi dan asonansi.

Gaya bahasa singkof:
Singkof ialah penggunaan kata yang singkat. singkof yang digunakan dalam pantun dikir ini ialah tak dan nak. Contohnya:-
Maruah bangsa tak siapa peduli (Rangkap 1 baris 3)
Apakah cara kita nak mengatasi (Rangkap 1 baris 4)

Gaya bahasa aliterasi:
Aliterasi ialah pengulangan konsonan dalam satu-satu baris. Di dalam pantun dikir ini berlaku pengulangan konsonan m,c,l dan m. Contohnya :-

Bermacam-macam jenayah keji (Rangkap 4 baris 3)
Muga bersinar selama-lama (Rangkap 5 baris 4)

Gaya bahasa asonansi :
Asonansi ialah pengulangan vokal dalam satu-satu baris. Dalam pantun dikir ini berlaku pengulangan vokal a, I dan e. Contohnya :-

Cubalah tanya pada diri sendiri (Rangkap 1 baris 1)
Pemimpin bestari terajui negara (Rangkap 3 baris 2)

Bentuk

1.      Pantun dikir ini terdiri daripada enam rangkap.
2.      Pantun dikir ini berbentuk pantun 4 kerat.
3.      Pantun dikir ini mengandungi sembilan hingga empat belas suku kata dalam satu-satu baris.
4.      Pantun dikir ini juga mengandungi empat belas hingga lapan belas patah perkataan dalam satu rangkap.
5.      Rima akhir bagi kesemua rangkap ini ialah aaaa.
6.      Terdapat juga penggunaa dialek Kelantan dalam pantun dikir ini, contohnya ialah muga (Rangkap 5 baris 4).

Nilai

1. Nilai bekerjasama.
Masyarakat berbilang kaum mesti hidup secara bekerjasama.


2. Nilai hormat-menghormati.
Masyarakat yang berbilang kaum perlu saling menghormati antara satu sama lain.


3. Nilai Patriotisme.
Masyarakat yang cinta akan tanah air dan sentiasa bangga dengan kebudayaan tempatan.


PENGAJARAN


1. Kita hendaklah bertolak ansur dalam segala hal sebagai rakyat sebuah negara berbilang kaum.


2. Kita hendaklah hidup bersatu padu untuk mengekalkan keharmonian negara.


3. Kita hendaklah hidup berkerjasama dan bertoleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum.