Isnin, 31 Mac 2014

SENYUMAN


Ia percuma tetapi amat berharga     
Ia menjadikan penerimanya kaya
tanpa menjadikan pemberinya miskin
seperti kilat tetapi berlegar diingatan
sepanjang masa

Tidak ada sesiapa yang terlalu kaya
hingga tidak memerlukannya
dan tidak ada sesiapa yang terlalu miskin
hingga tidak mampu memperolehinya

Ia membahagiakan sebuah rumahtangga
kemesraan dalam persahabatan
dan kebaikan dalam perniagaan

Ia memberi kekuatan kepada yang keletihan
memulihkan semangat yang kecewa
mengembirakan yang kesedihan
dan ubat mujarab kepada kesunyian

Ia terlalu berharga sehingga tidak boleh dijual beli
dipinta, dipinjam atau dicuri
serikanlah wajah dengan senyuman.



Sabtu, 29 Mac 2014

PEMBANGUNAN MODAL INSAN


“Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian,bukan lagi satu kemewahan....Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal insan negara kekal releven dengan kehendak industri dan pasaran serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.”

                                                                          (YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,2006)

Berdasarkan petikan diatas jelaslah yang modal insan adalah sesuatu yang sangat penting. Pembentukan modal insan ini harus bermula dari kecil lagi dan diteruskan dalam pendidikan di Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi ke Empat, ‘modal’ bermaksud sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan atau mencapai sesuatu yang lain. Selain itu, ‘modal’ juga bermaksud kelebihan yang lain. ‘Modal’ juga bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk mengembangkan harta. Seterusnya, ‘insan’ pula bermaksud makhluk yang dicipta oleh Tuhan. Pembinaan insan yang tepat dan betul akan membantu sesebuah negara melahirkan masyarakat yang dapat memastikan kejayaan negara pada masa akan datang.
Menurut definisi barat, pembangunan modal insan didefinisikan sebagai suatu cara untuk mengenal dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang yang diguna dalam pengambilan pekerja dan dalam perkara yang lain. Menurut perspektif barat, mereka memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia dari sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat. Istilah modal insan telah dicetuskan oleh Schultz (1961), yang merupakan seorang ahli ekonomi. Beliau telah membuktikan bahawa hasil pelaburan modal insan melalui pendidikan dan latihan di Amerika Syarikat lebih tinggi daripada yang berasaskan pelaburan modal fizikal.
Pembangunan modal insan adalah suatu kepentingan dan menjadi agenda utama negara masa kini ke arah melahirkan insan yang beretika, berilmu dan berketerampilan. Proses pembangunan insan adalah suatu aspek yang paling sukar sekiranya dibandingkan dengan pembangunan fizikal atau pembangunan material. Kesukaran itu disebabkan oleh pembangunan insan melibatkan faktor kemanusiaan yang rumit sifatnya. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, professional, kelebihan maklumat dan sebagainya. Modal insan harus mempunyai ciri-ciri seperti bersifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.
Terdapat lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu melaksanakan penambahbaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan. Seterusnya, mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari, menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan  latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat dan  melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar temasuklah menggantikan semua sekolah daif dan uzur bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar. Akhir sekali, memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan.
Usaha untuk membangunkan modal insan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa untuk menjamin kemajuan negara. Hal ini demikian kerana modal insan merupakan tunjang utama sesebuah negara. Seterusnya, modal insan yang berkualiti pula dapat memakmurkan, memajukan dan memartabatkan negara sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Modal insan yang berkualiti merupakan cerminan pada sesebuah tampuk pemerintahan. Penerapan nilai-nilai murni dan nilai tambah perlu dipupuk sepanjang masa dalam usaha membangunkan modal insan.         


Khamis, 27 Mac 2014

MAKSUD SINTAKSIS


Istilah sintaksis berasal dari perkataan Yunani, iaitu ‘Sun’ dan ‘Tattein’  yang bermaksud ‘dengan’ dan ‘menempatkan bersama-sama’ (Ahmad Khair Mohd. Nor, 2009:1). Kata ‘Sun Tattein’ itu kemudian diterjemah kepada ‘syntax’ dalam bahasa Inggeris. Bidang sintaksis merupakan bidang kajian ilmu bahasa. 

Menurut Nik Safiah Karim et al., (2008:599) menyatakan bahawa sintaksis ialah bidang linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat. Unsur bahasa yang dikaji dalam sintaksis ialah bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Dalam hierarki tatabahasa, sintaksis merupakan bidang kajian yang meneliti struktur, bentuk dan binaan ayat. Sintaksis juga mengkaji hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Unsur-unsur yang dikaji dalam sintaksis adalah ayat, klausa dan frasa.


Dalam analisis sintaksis, pengkajian jenis ayat boleh dirangkumkan kepada beberapa bahagian, iaitu golongan ayat, jumlah klausa, jenis ayat, susunan ayat dan ragam ayat. Golongan ayat terdiri daripada ayat dasar dan ayat terbitan, manakala jumlah klausa ayat terbahagi kepada dua, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Jenis ayat pula terdiri daripada ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah, manakala susunan ayat terbahagi kepada dua, iaitu susunan songsang dan susunan biasa. Ragam  ayat  terbahagi kepada dua, iaitu aktif dan pasif. 

Rabu, 26 Mac 2014

PUISI UNTUK MH370

Tajuk : Pulanglah MH370

Pulanglah MH370
kepangkuan kami semua
yang setia menanti
menunggu setiap masa dan ketika
berdoa tulus tanpa putus
agar selamat semuanya.

MH370
ini tragedi menguji
kesepakatan dan kesabaran kami semua
mari kita terus doa
agar terjumpa kunci yang gahaib di laut
dibuka misteri yang tutup di darat

Dengan rebahkan keegooan hati
kami pohon padaMu
penjaga alam semesta ini
terimalah doa kami yang kerdil ini
ampunilah kami
maafkanlah kami
timbullah ehsanMu
agar MH370 muncul di dunia nyata
bagi membuatkan semuanya gembira

Dalam getir dan liku
kami tetap bersatu
walau lain agama
walau lain bangsa
walau lain negara

Ya Rahman Ya Rahim
kepadaMu kami berserah
bantulah kami
tolonglah kami
menemui yang dicari

Pulanglah
kami setia menunggu MH370
kembali kepangkuan kami
agar terungkai segala misteri
mengubat kerisauan dihati
dan meleraikan segala teka teki.

(Nukilan : Kumpulan B Puisi 2014)

CONTOH TEKS DEBAT BAHASA MELAYU

Terima kasih yang dipertua dewan, yang saya hormati rakan-rakan barisan pembangkang, yang disengani barisan kabinet kerajaan serta seisi dewan yang sudi bersidang bersama kami. Selamat bersidang, assalamulaikum dan salam sejahtera semua.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, usul kita pada hari ini pilihanraya kampus melahirkan pemimpin berintegriti. Perdana Menteri kita telah membentangkan konsep pilihanraya kampus melahirkan pemimpin berintegriti dengan tepatnya iaitu proses pemilihan calon pemimpin mahasiswa universiti. Pertikaian saya yang pertama ialah adakah proses pemilihan calon pemimpin mahasiswa yang dilakukan berdasarkan kapasiti pilihanraya kampus itu sendiri mampu melahirkan calon yang berintegriti?
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, melalui pemahaman saya untuk berada dalam pilihanraya kampus para calon itu akan dicalonkan dan akan menjadi pemimpin selepas mendapat undian majoriti. Pihak kerajaan juga ada menyatakan bahawa pemimpin yang berintegriti dapat dilihat apabila mereka menuntut hak. Seperti yang dikatakan oleh Dato, sekadar menuntut hak yang dinafikan itu dikatakan berintegriti. Kes yang diajukan oleh beliau cukup mudah pada hari ini, Pro Mahasiswa telah menang tiba-tiba dinafikan kemenangan itu. Mereka semua bangkit menentang dan menuntut balik hak mereka. Adakah itu dikatakan pemimpin yang berintegriti. Bagi saya tidak berintegriti langsung.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, menelusi kembali tujuan pilihanraya kampus iaitu bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). MPP ini berfungsi sebagai mata dan telinga pelajar bagi menjaga kebajikan pelajar di universiti. Ini bermakna pemimpin yang dipilih dan berintergiti mempunyai tanggungjawab yang berat. Soalan saya, adakah pemimpin itu menjalankan tanggungjawabnya? Terdapat juga kes yang tidak dapat diselesaikan oleh MPP sehingga timbulnya demonstrasi.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan, untuk kes yang kedua saya ingin bertanya mereka, pada masa yang mana pilihanraya kampus ini melahirkan pemimpin yang berintegriti? Semasa manifesto dibentangkan ke, semasa tengah bergaduh-gaduh ke, semasa berkempen ke atau selepas pilihanraya dijalankan. Merujuk kepada penjelasan Dato sebentar tadi, banyak menyatakan selepas pilihanraya dan semasa sudah menjadi MPP. Maksudnya semasa menjadi MPP baru hendak tuntut hak itu dan ini. Ketika menjadi calon tidak boleh menuntut hak. Kes mereka ini melibatkan manifesto semata-mata. Itu saya katakan kes mereka bercanggah sebenarnya kerana pilihanraya kampus melahirkan pemimpin berintegriti atau tidak, dapat dilihat semasa proses pilihanraya dijalankan, semasa manifesto dibentangkan atau semasa pengucapan umun dijalankan.  
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, pada masa proses pengundian berlaku, kita dapat lihat tindak tanduk atau tingkah laku para calon MPP sama ada berintegriti atau tidak. Adakah beliau agresif atau bertentangan dengan etika yang ditetapkan? Untuk pengetahuan umum sebenarnya pilihanraya kampus ada etika-etikanya. Andaikata para calon ini terus melanggar etika pilihanraya kampus maka dia boleh dikatakan tidak berintegriti. Hal ini kerana, untuk menjadi pemimpin yang berintegriti para calon harus mematuhi etika tersebut. Etika yang pertama, tidak boleh berkumpul berbentuk demonstrasi dan keduanya tidak boleh bertindak mengoyak, menconteng atau membakar sepanduk dan gambar pihak lawan. Etika yang ketiga ialah tidak boleh mewujudkan situasi yang huru hara semasa pilihanraya kampus berjalan. Apabila calon-calon ini melanggar etika ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa pilihanraya ini tidak dapat melahirkan pemimpin berintegriti.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, hari ini saya ingin tunjukkan kepada anda mekanisma lain yang boleh menggantikan pilihanraya kampus untuk melahirkan pemimpin yang berintegriti. Pertamanya, kita boleh menetapkan 30% undian daripada fakulti dan 70% lagi undian daripada pelajar. Daripada undian tersebut kita akan ambil lima orang calon yang mendapat undian tertinggi. Calon-calon berkenaan harus mempunyai kelulusan akademik dan kokurikulum yang baik. Lima calon ini harus dihantar kepada HEP. Keduanya, lima orang calon daripada setiap fakulti ini harus dihantar ke pelbagai kem pengurusan untuk memantapkan ilmu yang mereka ada. Daripada kem ini kita akan menapis lima orang calon ini dan hanya dua orang calon sahaja yang layak untuk bertanding. Akhirnya setiap fakulti akan menghantar dua orang calon sahaja.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, untuk melatih pemimpin untuk berintegriti kita perlu ada caranya. Semasa proses pemilihan calon kita mesti mengikut proses analisis, penapisan dan pemerhatian. Melalui proses-proses ini sahaja kita akan mengambil calon yang paling layak. Setiap fakulti kita hanya mengambil dua orang calon sahaja. Calon-calon inilah yang boleh dikatakan berintegriti. Disini kita dapat lihat bahawa untuk menjadi pemimpin yang berintegriti bukan hanya bergantung kepada wajah semata-mata, dalam lima orang yang tercalon itu hanya yang layak diterima oleh mahasiswa dan fakulti sahaja layak bertanding. Keduanya, semasa di kem kita sudah dapat lihat calon-calon ini berintegriti atau tidak iaitu adakah mereka boleh melakukan tugas yang diberi. Kita tidak boleh lihat kepada kemampuan mereka bercakap sahaja, tetapi kerja yang diamanahkan tidak mampu mereka selesaikan. Hasilnya kita dapat melahirkan pemimpin yang berintegriti tanpa perlu mengadakan pilihanraya kampus yang belum tentu bersih dan betul.
Yang dipertua dewan dan seisi dewan sekalian, menjawab soalan mereka yang terakhir, apakah kelemahan pilihanraya kampus? Banyak kelemahan yang timbul daripada pilihanraya kampus. Contohnya isu demonstrasi yang berlaku di universiti seluruh Malaysia hasil daripada kelemahan pilihanraya kampus. Sebelum berjalannya pilihanraya kampus telah banyak timbul kekecohan di sekitar kampus dan kolej kediaman. Hal ini menyebabkan ramai mahasiswa terkandas untuk ke kuliah. Selain itu ada juga mahasiswa yang diugut supaya menyokong mana-mana pihak. Hal ini boleh dikatakan pilihanraya kampus yang bersih. Tidak sama sekali yang dipertua. Kelamahan yang ada ini tidak akan menimbulkan pemimpin yang berintegriti malah sebaliknya.
Akhir sekali, saya dengar kes mereka sangat bertentangan kerana mereka kata pilihanraya kampus kesannya selepas pilihanraya kampus bukan sebelumnya atau semasa pilihanraya. Mereka menyatakan bahawa hak kebebasan akademik boleh dituntut selepas menjadi MPP. Selain itu, saya juga mahu katakan bahawa kebanyakan pilihanraya kampus di universiti di Malaysia  telah melanggar etika pilihanraya kampus. Hasilnya, pilihanraya kampus tidak mampu melahirkan pemimpin yang berintegriti.

Mohon usul ini ditolak. Sekian, terima kasih.        

HIKAYAT SERI KELANTAN

PENGENALAN

Naskah asal bagi “Hikayat Seri kelantan” disimpan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, di Kuala Lumpur. Naskah ini diwarisi beliau daripada ayahandanya, Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Naskah “Hikayat Seri Kelantan” merupakan naskah yang ditulis tangan dengan huruf jawi. Naskah asal ini merupakan sebuah buku tulis, berukuran 8.5” x 6.9” dan mengandungi 111 halaman. Halaman yang pertama merupakan suatu catatan yang tidak ada kaitannya denga isi kandungan naskah ini, kecuali pada halaman sebelah atasnya tertulis : Inilah dinamakan dia “Hikayat Seri Kelantan”. Muka yang terakhir juga merupakan catatan, tetapi telah dihapuskan dengan dakwat. Pada kedua-dua halaman pertama dan terakhir itu ada tertera tandatangan yang dikenali sebagai tandatangan Datuk Haji Nik Mahmud bin Ismail.
             Naskah asal ini tertulis dengan dakwat hitam, tetapi pada tempat-tempat seperti permulaan satu-satu cerita atau gelaran-gelaran Siam, dakwat merah juga digunakan. Nombor halaman pada naskhah hanya bermula pada halaman yang keenam. Pada halaman yang pertama hingga kelima tidak dicatatkan nombor. Naskhah asal ini masih baik keadaannya, walaupun kertasnya sudah kekuningan sedikit. Tulisannya pada keseluruhannya jelas dan terang. Pada penghujung naskhah ini dicatatkan bahawa hikayat ini telah selesai ditulis pada malam Raba’a 9 hari bulan Rabiulawal tahun (Hijrah) 1332..., dihadapan Wan Ali bin Wan Yusof. Tarikh ini bersamaan dengan 5 Februari 1914 Masihi. Terdapat juga catatan berikut “ Dan ini cetera dan, saya buat satu, iaitu saya ambil daripada cetera Raja Muda satu, yang membawa kepada sayanya Tuan Guru Haji Awan Kenali, dan yang akhir ini saya dapat daripada Wan Ali Pekan, iaitu ia dapat daripada Nik Seri Paduka, sangat-sangat betul”.

             Dengan ini dapat kita tafsirkan bahawa “Hikayat Seri Kelantan” ini telah dihasilkan daripada dua buah naskhah iaitu naskhah Raja Muda dan naskhah daripada Nik Seri Paduka. Tarikh penulisan “Hikayat Seri Kelantan” adalah seperti yang tercatat pada penghujung naskhah ini, tetapi nama penulisnya tidak dapat pula dikatakan sebagai Wan Ali bin Wan Yusof kerana perkataan di hadapan sebelum nama Wan Ali itu menunjukkan kerja-kerja penulisan ini dilakukan atas perintah beliau.